Thursday, September 4, 2008

Kenangan Ramadan dulu-dulu.

Seronok bulan puasa masa dikampung masa kecil-kecil dahulu. Kami dari keluarga yang besar,ada seramai lapan adik-beradik termasuk emak dan ayah. Dulu-dulu, masa bulan puasa yang paling penting kena ada nasi dan lauk-pauk. Biasanya emak dan kakak akan masak nasi dan lauk-pauk sekitar pukul empat petang.
Disebabkan ayah ada kolam ikan sendiri,jadi lauk-pauk banyak berasaskan ikan kolam. Ikan talapia masak lemak dengan daun kesum,ikan keli sambal,ikan lampam bakar dan sebagainya. Dikampung,sayur tidak menjadi masalah,selalunya emak buat rebus pucuk ubi,cicak sambal belacan atau kerabu paku pakis dengan kerang. Perrgggg...sedapnya.
Untuk makanan lepas berbuka,emak selalu membuka pasembor atau rojak. Ada timun,sengkuang,taugeh dan cucur udang. Udang menggunakan udang kat kolam. Yang tidak boleh lawan,kuah kacang emak,memang sedap. Emak tidak berapa suka buat kueh-mueh,tapi selalu buat bubur,macam bubur gandum,bubur kacang,bubur jagung dan sebagainya. Kalau musim durian,bubur durian memang ada.
Masa saya kecil,kampung kami masih belum ada bekalan elektrik. Setiap petang saya dan adik akan pergi membeli ais batu untuk dibuat air sirap. Ais batu dahulu,datang dengan cara empat segi panjang dan disalut dengan habuk kayu/papan yang telah dipotong. Ini untuk menjadikan ais baru tersebut tidak cepat cair.
Rumah saya dekat dengan masjid,beduk atau 'ketuk' orang kampung saya panggil akan berbunyi,menandakan waktu berbuka dah masuk. Jadi berebutlah kita semua makan,maklumlah dah sehari suntuk berlapar. Seronok sekali,memasing diam mengisi perut,ada yang minum air sirap saja,kerana dahaga,sampai nak makan nasi pun tak lalu,dah kenyang dengan air.
Bayangkan dengan adik-beradik yang ramai,mahu segantang beras untuk berbuka dengan sahur. Maklumlah,memasing tengah kuat makan.Selepas berbuka,selalunya emak dan ayah pergi solat tarawih kat masjid,kami selalunya main 'polis senteri' dengan adik-beradik dan sepupu. Memang seronok. Sekarang,memasing dan bekeluarga dan duduk berjauhan dengan emak dan ayah. Kalau balik kampung,emak akan ingin kenangan dengan kami semua. Tadi baru telefon emak dekat kampung. Mereka sihat dan masih boleh berpuasa, tapi emak kata mereka makan tidak banyak masa berbuka dan bersahur.
Emak walaupun sakit kaki,tapi masih boleh memasak untuk makanan mereka berdua. Kami adik-beradik ajak datang dengan kami,tapi mereka kata,lebih selesa duduk dekat kampung. Dari kejauhan,saya panjatkan doa kepada Allah s.a.w. semoga mereka sihat dan dapat menjalankan ibadat puasa ini. Kepada kawan-kawan yang ada emak dan ayah,selalulah telefon. Mereka bukan nak minta wang daripada kita,sekadar dapat mendengar suara kita dah cukup bagi mereka.