Tuesday, October 28, 2008

Al-fatihah buat bonda tersayang 2.

Jam 8.30 pagi jenazah emak pun sampai ke rumah dari hospital Pantai Puteri,Ipoh. Tidak dapat kami gambarkan perasaan ketika menatap wajah emak. Rupa emak macam sedang tidur,dengan badan yang agak gempal. Ialah emak meninggal dengan secara mengejut. Lepas itu,saya dan adik-beradik yang lain mencium jenazah emak. Sejuk muka emak.
Airmata saya memang tidak tertahan. Emak yang selalu memberi dorongan dan perangsang buat diri ini semasa kematian emak Ammar yang dahulu. Emaklah orang yang paling rapat dan paling istimewa dalam hidup saya. Emaklah yang kalau saya telefon,akan menangis,apabila mengenangkan saya dan Ammar berdua. Emaklah orang yang paling sedih bila melihat Ammar yang kematian emak pada usia lima tahun. Emaklah orang yang tahu susah dan senang saya semasa emak Ammar sakit dahulu. Emaklah permata hati saya.
Tapi sekarang,emak terbujur kaku,hati mana yang tidak runtuh.Disebabkan saya telah melalui ujian yang pertama,semasa kematian Emak Ammar,saya tabah. Saya menangis,tapi tidak sampai meraung. Kemudian saya duduk disisi jenazah emak sambil membaca surah Yassin. Sambil membaca surah Yassin saya mengusap-usap rambut emak.
Biarlah saya habiskan masa-masa ini dengan jenazah emak,lepas ini saya tidak dapat mengusap rambut emak buat selama-lamanya. Biarlah saya ambil peluang ini untuk mencium emak sepuas-puasnya,kerana selepas ini saya tidak akan berpeluang mencium emak buat selama-lamanya. Biarlah saya menatap wajah emak sepuas-puasnya,kerana selepas ini saya tidak akan menatap wajah emak buat selama-lamanya. Saya selalu mendengar kata kawan-kawan,kalau emak kita meninggal dunia,kita akan jadi rindu padanya. Sekarang saya akan merindukan seorang yang bernama emak. Saya rasa cukup setakat ini,nanti saya sambung lagi.......